Suasana tradisi masyarakat baba nyonya Pulau Pinang dan keaslian cita rasa makanan istimewa Pulau Mutiara itu menarik pelanggan untuk mengunjungi Restoran Penang Village.

Eksekutif Pemasaran Restoran Penang Village, Annie Hiew, 23, berkata keistimewaan restoran ini bergantung kepada masakan chefnya 100 peratus Pulau Pinang.

"Melalui kajian yang kami lakukan mendapati kebanyakan kedai makanan di sekitar ibu kota menyediakan masakan istimewa Pulau Pinang tidak menepati keaslian cita rasanya.

"Kata saja Pulau Pinang tetapi apabila pelanggan menikmatinya ia tidak menepati cita rasa sebenar. Jadi, di Restoran Penang Village, pelanggan tidak perlu ragu-ragu dengan hidangan yang mereka nikmati seperti laksa dan kuaetiau" katanya.

Selain itu, kata Annie, kualiti makanan dipantau setiap masa bagi memastikan pelanggan tidak jemu oleh Ketua Chef, Tang Chun Gee, yang juga seorang pemilik restoran bersama rakannya, Tonny Leow.

"Tang dan Tonny, kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang dan sememangnya arif dengan makanan dan tradisi masyarakat Cina di negeri itu. Jadi, mereka tahu apa yang sesuai kepada restoran dan kehendak pelanggan.

"Tambahan pula, kami di sini, mengamalkan perkhidmatan pantas kepada pelanggan bagi mengelakkan mereka menunggu lama untuk menikmati hidangan dipesan," katanya.

Katanya, harga makanan yang ditetapkan juga berpatutan iaitu antara RM6.90 hingga RM22 mengikut jenis hidangan pilihan pelanggan dan bersesuaian dengan bajet mereka.

Kehubungan itu, Chef Tang, berkata, makanan istimewa Pulau Pinang sebernarnya tidaklah terlalu pedas seperti di beberapa kedai makanan dan restoran yang menyediakan masakan itu.

"Saya mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang masakan malah begitu mahir memasak makanan Pulau Pinang kerana saya lahir dan dibesarkan di negeri itu.

"Saya pasti cita rasa sebenar masakannya kerana sejak kecil saya meminati bidang masakan dan berlatih memesak. Jadi, di restoran ini, saya memasak sendiri dibantu beberapa chef lain," katanya.

Menurut Tang, selepas tiga tahun Restoran Penang Village ditubuhkan, dia bangga dan gembira dengan sambutan yang diberikan pelanggan kepada restoran itu.

"Kebanyakannya adalah pelanggan tetap kami malah kaum Melayu dan India juga datang menikmati hidangan di sini kerana ia halal. Kami turut mempunyai pekerja Melayu.

"Setakat ini, restoran ini sudah mempunyai tiga cawangan iaitu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Desa Sri Hartamas dan USJ Subang Jaya dengan 140 pekerja. Selain restoran, kami menyediakan khidmat catering," katanya.

Tambahan lagi, menu di restoran biasanya ditukar setahun sekali cadangan diberikan pelanggan selain memperkenalkan menu baru restorant.

Restoran Penang Village beroperasi setiap hari bermula jam 11.30 pagi hingga 3.30 petang untuk hidangan makan tengah hari manakala jam 6.30 petang hingga 10.30 malam untuk makan malam.

Orang ramai yang ingin mencuba keenakan masakannya dan membuat tempahan boleh kunjungi restoran itu di Long Rahim Kajai 13,Taman Tun Dr Ismail atau menghubungi talian 03-77260118 serta faksimili 03-77260119.