Namanya saja menggambarkan menu yang dihidangkan. Menampilkan dekorasi bercirikan oriental, Penang Village menyediakan pelbagai sajian enak Pulau Mutiara seperti masakan nyonya, Cina dan tempatan di bawah satu bumbung.

Apa yang ingin dinikmati? Kebanyakan masakan yang popular di Pulau Pinang tersedia di Penang Village. Melangkah di Penang Village umpama pulang ke kampung halaman di utara tanah air untuk menikmati masakan kegemaran tanpa perlu perjalanan jauh.

Antara menu istimewa di Penang Village ialah udang mentega Heh-Bee, nasi goreng labu, telur dadar sos tiram, ayam pandan Nyonya, kari ayam kapitan, ayam lobak, ikan kerapu goreng dicicah tiga sos pilihan iaitu sos nanas Nyonya, sos asam nanas dan sos masam manis laici, kuetiau Pulau Pinang dan masakan kailan dua cara.

Menurut chef kanan restoran itu, Putera Othman, yang berpengalaman lebih 18 tahun dalam bidang masakan, semua cawangan Penang Village menggunakan resipi standard bagi mengekalkan rasa masakan. Bagaimanapun, untuk mendapatkan rasa sama bagi masakan adalah 90 peratus kerana bergantung kepada `air tangan tukang masak.

"Masakan nyonya Pulau Pinang lebih pedas dan masam kerana mendapat pengaruh Thailand berbanding sajian nyonya Melaka yang lebih manis dan berlemak kerana menggunakan santan serta pengaruh Indonesia.

"Ayam Pandan Nyonya diadun dengan jintan manis, jintan putih dan serai. Ayam dicincang digunakan dicampur udang kering yang dilumatkan, isi ketam dan gajus.

"Ayam lobak pula dibungkus dengan kulit tofu dan rasa manis diperoleh daripada sengkuang, manakala aroma daripada rempah ratus yang digunakan," katanya.

Beliau yang menimba pengalaman sebagai chef di Indonesia, Thailand dan Taiwan berkata, nasi goreng labu menggunakan bahan seperti labu yang dihancurkan, telur, dan udang serta dihidangkan bersama acar.

Bagi melengkapkan hidangan, sayuran kailan dimasak dua cara antara menu yang dicadangkan untuk dicuba. Daun kailan dipotong kecil dibubuh stok ayam dan gula digoreng dalam minyak penuh. Ia dihidang bersama kailan yang dikukus, kemudian diberi ramuan halia, lobak merah, bawang putih dan stok ayam dan digoreng.

Antara pembasah tekak di Penang Village ialah soya cincau, soya cendol, bandung cincau dan bandung cendol manakala pencuci mulut istimewa ialah cendol durian.

Menu termasuk udang, sotong, daging, ayam dan tomyam. Masakan tempatan lain yang turut tersedia ialah kari ikan, ayam masak kurma dan rendang.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Penang Village, Lien Wei Wei, berkata pembaca Harian Metro/Metro Ahad yang berminat menikmati keenakan masakan Pulau Pinang di restoran itu berpeluang mendapat 20 peratus diskaun.**

"Pembaca hanya perlu menunjukkan artikel ini** sebelum membuat tempahan dan setiap artikel adalah sah untuk seorang. Promosi sah sehingga 28 Februari ini. Diskaun untuk makanan yang dimakan di restoran ini saja iaitu di cawangan Berjaya Times Square, Tropicana City Mall, Alamanda Putrajaya, Hartamas Shopping Centre dan Taman Tun Dr Ismail," katanya. [**Hanya untuk keratan akhbar Harian Metro sahaja**]

Restoran Penang Village pertama dibuka di Sri Hartamas pada Mei 2000, diikuti Taman Tun Dr Ismail pada Ogos 2001. Ia disusuli pembukaan cawangan di Alamanda Putrajaya Mall, Putrajaya pada Oktober 2004 dan melebarkan sayapnya ke Malaysia Timur iaitu di 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Jun 2008. Ia turut dibuka di Tropicana City Mall, Petaling Jaya.

Restoran yang tidak berkompromi terhadap kualiti makanan dan servis ini membawa jenamanya ke Indonesia pada 2004. Cawangan pertama di negara itu ialah di Plaza Tunjungan Mall, Surabaya, diikuti Karawaci Mall, Tangerang, Galaxy Mall, Surabaya; Setia Budi One, Jakarta dan Pluit Junction, Jakarta.