Mungkin ramai beranggapan komuniti Baba dan Nyonya hanya wujud di Melaka, sedangkan ia sebenarnya turut ada di Pulau Pinang dan memiliki menu masakan tersendiri yang istimewa.

Itulah yang ingin diketengahkan oleh Restoran Penang Village, pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya yang turut mengutamakan dekorasi hiasan dalaman untuk menyerlahkan keunikannya kepada pelanggan.

Ketua Chef Restoran Penang Village, Tang Chun Gee, berkata idea untuk membuka restoran yang menyajikan semua menu dari Pulai Pinang lahir daripada pengalaman yang sering menjamu selera dengan rakan di pelbagai gerai dan restoran yang menghidangkan masakan dari negeri itu seperti char kuetiau dan laksa Penang.

Beliau yang juga pengarah urusan Penang Village berkata, pengalaman itu memberi ilham kepadanya untuk membuka restoran yang menyajikan semua menu dari negeri kelahirannya supaya penggemar masakan di Pulau Pinang dapat memperoleh semua menu di bawah satu bumbung.

"Di Pulau Pinang juga ada ramai keturunan Baba dan Nyonya. Namun masakan di antara peranakan di Melaka dan Pulai Mutiara ada sedikit perbezaan," katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang masakan.

Jesteru, bagi mereka yang gemarkan masakan Pulau Pinang, terutama menu peranakan Baba dan Nyonya serta masakan mamak dan Melayu, restoran itu adalah alternatif terbaik. Tepuk dada tanya Selera. Masyarakat Islam juga tidak perlu berfikir dua kali untuk mencuba menu di Penang Village kerana ia dijamin halal.

Restoran itu menggabungkan suasana tradisional dan kontemporari. Di silingnya dihias bakul berwarna Hitam dan Merah yang lazimnya digunakan ketika majlis perkahwinan kaum Nyonya - menggambarkan budaya keturunan Cina. Restoran Penang Village juga ada di Taman Tun Dr Ismail, Hartamas shopping Centre dan USJ, Subang Jaya.