Menetap di ibu kota, mencari makanan yang mengikut kehendak cita rasa tidak sukar. sebut saja cita rasa hidangan digemari, pasti tidak menghampakan atau kempunan untuk menikmati makanan diingini itu.

Bagi yang teringin atau hendak mencuba masakan peranakan Baba dan Nyonya Pulau Pinang, Restoran Penang Village di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur antara yang menawarkan cita rasa masakan seumpama itu.

Pengarah Urusan Penang Village, Tang CG, berkata sesuai dengan nama restoran yang ingin menyerlahkan identiti Pulau Pinang, restoran itu menghidangkan aneka masakan istimewa peranakan yang terkenal dengan pulau berkenaan.

Beliau yang juga ketua chef di restoran itu dan berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang masakan, berkata walaupun masakan peranakan lebih dianggap sajian tradisional Melaka, sebenarnya Pulau Pinang juga kaya dengan aneka masakan Baba dan Nyonya.

"Di Pulau Pinang juga ada ramai keturunan Baba dan Nyonya. Tetapi masakan antara peranakan di Melaka dan Pulau Mutiara ada sedikit perbezaan. Masakan peranakan Melaka lebih manis dan berlemak kerana bahan utamanya santan, sebaliknya sajian Pulau Pinang lebih dipengaruhi masakan Thai yang agak pedas serta sedikit masam," katanya yang juga anak kelahiran Pulau Pinang dan mempunyai susur galur keturunan Baba dan Nyonya.

Tang berkata, bagi memastikan hidangan yang disediakan sedap dan menepati selera pengunjung beliau mengambil kira penampilan, cara memasak, kesegaran dan keaslian bahan serta rasa.

Beliau berkata, istimewa untuk umat Islam berbuka puasa, Restoran Pulau Penang menawarkan promosi hebat bufet berharga, RM 21.90++(dewasa) dan RM 14.90++(kanak-kanak). Bufet bermula dari jam 7.00 petang hingga 9.30 malam.

"Harga bufet yang disediakan itu adalah amat murah dan berpatutan kerana kebanyakan hidangan yang disediakan berasaskan menu masakan makanan laut. Bufet istimewa itu menyajikan 30 hidangan setiap hari dengan menu yang berlainan," katanya.

Antara hidangan yang disediakan ialah ayam masak merah, kari kambing, sotong goreng kunyit cili padi, sambal udang petai, nasi nanas, lala masam manis, hong siew Tofu, ikan sumbat cencaru, ayam jingga madu, kerabu, ketam masak lemak cili padi dan banyak lagi.

Pemanis mulutnya pula terdiri dari kuih nyonya, puding mangga, agar-agar, puding sago gula melaka, bubur cha cha dan lin chee kang.

Tawaran promosi bufet berbuka puasa itu terdapat di rangkaian Restoran Penang Village termasuk di USj9 di Subang Jaya, Desa Sri Hartamas di Kuala Lumpur dan Alamanda Putrajaya yang baru dibuka awal October lalu. Untuk tempahan atau keterangan lanjut, boleh hubungi 03-7722 4288 / 03-8024 6828.